Berita · 27 Jul 2026
Melaka Miliki 29 Tapak Warisan Geologi
Telok Mas – Sebanyak 29 tapak warisan geologi yang dikenal pasti di seluruh Negeri Melaka bakal menjadi produk pelancongan baharu negeri ini, sekali gus memperkukuhkan kepelbagaian tarikan yang ditawarkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, berkata kesemua lokasi tersebut mempunyai nilai geologi, warisan semula jadi dan sejarah yang unik serta berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Menurut beliau, usaha ini merupakan sebahagian daripada persediaan Melaka ke arah memperoleh pengiktirafan Geopark Kebangsaan menjelang tahun hadapan selepas cadangan tersebut dibentangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN).
"Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah memberikan persetujuan dan kini proses seterusnya adalah mendapatkan kelulusan di peringkat Persekutuan bagi membolehkan Melaka diiktiraf sebagai sebuah Geopark Kebangsaan.
"Ini merupakan satu langkah penting kerana ia bukan sahaja memperkukuhkan agenda pemuliharaan warisan geologi negeri, malah membuka peluang ekonomi baharu menerusi sektor pelancongan."
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.
Menurut Abdul Razak, kesemua 29 tapak warisan geologi tersebut tidak tertumpu di satu daerah sahaja, sebaliknya melibatkan ketiga-tiga daerah di Negeri Melaka yang masing-masing mempunyai keunikan geologi dan khazanah alam semula jadi tersendiri.
Antara lokasi yang dikenal pasti mempunyai potensi besar ialah Bukit Larang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang menyimpan khazanah geologi termasuk formasi batuan unik yang mempunyai nilai saintifik dan warisan yang tinggi.
Beliau berkata, kewujudan tapak-tapak tersebut mampu menarik minat pencinta alam, penyelidik, pelajar serta komuniti geopelancongan dari dalam dan luar negara.
"Geopark mempunyai kelompok pengikut dan peminatnya yang tersendiri. Di seluruh dunia, pelancongan berasaskan geologi semakin mendapat perhatian kerana ia menawarkan pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.
"Sebab itu kita melihat geopark sebagai satu lagi segmen pelancongan baharu yang boleh diketengahkan oleh Melaka."
Tambah beliau, pembangunan geopark bakal melengkapkan ekosistem pelancongan Melaka yang sebelum ini lebih dikenali menerusi produk pelancongan sejarah, budaya, warisan dan rekreasi.
Katanya, pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan juga dijangka meningkatkan nilai tambah kepada industri pelancongan negeri serta menggalakkan pelancong untuk berada lebih lama di Melaka.