Berita · 27 Jul 2026
Melaka Menuju Ke Arah Pengiktirafan Geopark Kebangsaan 2026
DUYONG, 14 Julai – Melaka menetapkan sasaran untuk diiktiraf sebagai sebuah Geopark Kebangsaan menjelang penghujung tahun 2026.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Negeri Sembilan/Melaka sedang berusaha menjalankan kajian dan pencirian saintifik geotapak di beberapa lokasi yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sebelum ia dinilai dan diangkat untuk menerima pengiktirafan.
Pengarah JMG Negeri Sembilan/Melaka, Haniza Zakri, berkata setakat ini sebanyak lima lokasi telah menjalani pencirian geotapak iaitu Pulau Upeh, Pulau Besar, Pulau Undan, Tanjung Tuan dan Sungai Rambai.
Katanya, pada tahun ini tiga lagi lokasi baharu iaitu Bukit Beruang, Bukit Larang Telok Mas dan Air Panas Gadek akan menjalani kajian bagi menilai ciri-ciri geologi serta nilai warisan lain yang terdapat di kawasan tersebut.
Menurut beliau, sebagai sebuah negeri pelancongan, status Geopark Kebangsaan amat penting kepada Melaka kerana mampu memberikan nilai tambah serta pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung dan pelancong melalui pembangunan produk geopelancongan baharu.
"Pada masa sama, status Geopark ini turut berperanan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat. Ia mampu membuka peluang pekerjaan serta mempromosikan nilai sejarah, warisan, budaya dan produk tempatan seperti makanan serta hasil kraf.
"Setakat ini, Melaka masih berada pada status Aspiring Geopark. Dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Melaka, khususnya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), serta jabatan dan agensi berkaitan, kami berharap Melaka akan berjaya memperoleh pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan menjelang penghujung tahun 2026.
"Bagi mencapai sasaran tersebut, sekurang-kurangnya 15 lokasi di seluruh Negeri Melaka perlu melalui proses pencirian geotapak dan kami berharap usaha ini dapat direalisasikan mengikut tempoh yang ditetapkan."
Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Program Kesedaran Komuniti Aspiring Melaka Geopark sempena Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Dewan Terbuka Taman Seri Duyong 2.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya juga berhasrat menjadikan Duyong sebagai kampung angkat geopark pertama di Negeri Melaka memandangkan kawasan tersebut memiliki pelbagai khazanah warisan geologi yang terdiri daripada sumber batuan merah laterit berusia jutaan tahun serta nilai budaya yang tinggi.
Menurut beliau, antara tarikan yang boleh diketengahkan termasuk Sumber Air Bawah Tanah Perigi Hang Tuah, Perkampungan Budaya Hang Tuah, Masjid Warisan dan pelbagai lagi lokasi menarik.